Kira-kira 95 peratus murid tahun
enam Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Setia di sini mampu menguasai bacaan dan
tulisan jawi dengan baik sejak melanggan akhbar Utusan Melayu Mingguan lima
tahun lalu.
Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah berkenaan, Mohd. Yazid Buhimin
berkata, walaupun cuma melanggan sebanyak 100 naskhah akhbar tunggal bertulisan
jawi itu pada setiap minggu, namun ia sudah cukup memberi kesan positif ke atas
pelajar.
''Alhamdulillah akhbar Utusan Melayu Mingguan yang satu-satunya bertulisan jawi
di negara ini telah memudahkan lagi proses pembelajaran jawi kalangan pelajar
sekolah ini.
''Saya dapati murid sekolah cukup berminat membaca Utusan Melayu Mingguan
terutama ruangan karikatur yang mencuit hati. Mereka memang suka ruangan itu
dan saya cukup gembira kerana ia dapat menarik minat generasi muda membaca
jawi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di SK Rapat Setia di sini
hari ini.
SK Rapat Setia mempunyai sekitar 150 orang murid tahun enam setiap tahun.
Mohd. Yazid berkata, selain ruangan karikatur, murid-murid juga cukup berminat
membaca pada halaman yang mempunyai gambar-gambar menarik dan tidak
membosankan.
Jelas beliau, pada masa sama, kebanyakan murid menunjukkan minat mendalam pada
ruangan inovasi yang selalunya menyiarkan bahan bacaan berkaitan perkembangan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkini.
Katanya, ruangan itu cukup signifikan kerana membolehkan murid-murid atau
generasi muda mengetahui ejaan tulisan jawi yang betul bagi peralatan
komunikasi atau istilah-istilah baru dalam dunia ICT.
''Tidak ketinggalan juga ruangan tulisan khat, ia turut membantu menggalakkan
murid-murid belajar menulis tulisan jawi yang cantik dan berseni.
''Pada saya akhbar Utusan Melayu Mingguan membawa banyak faedah dan manfaat
kepada anak-anak murid di sekolah ini dan saya harap peranannya dapat
diperluaskan agar tulisan jawi tidak 'mati' ditelan zaman," katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak agar terus menyokong akhbar Utusan Melayu
Mingguan dan mempertahankannya sehingga ke akhir zaman kerana ia merupakan
warisan bangsa yang tidak ternilai.